AED Ke-10 Dipasang di Pasar Petanak, Perkukuh Respons Kecemasan Komuniti Kuching
KUCHING: Usaha memperkukuh keselamatan awam terus diperkasa apabila satu unit ‘Automated External Defibrillator’ (AED) diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk dipasang di Petanak Market hasil kerjasama ‘Rotary Club of Kuching Central’ dan ‘Rotary Club of Singapore East’.
Penyerahan tersebut disempurnakan kepada Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng yang hadir bersama Timbalan Datuk Bandar, Datuk Zaiedi Suhaili di sini pada Selasa.
Presiden Rotary Club of Kuching Central, Pauline Pui berkata, pemasangan ini merupakan unit AED ke-10 oleh kelab tersebut di Kuching, sekali gus menjadi projek ikonik dalam membina komuniti yang lebih selamat dan prihatin.
Menurut beliau, inisiatif berkenaan mencerminkan impak kolaborasi antara organisasi dalam menyediakan kemudahan yang mampu menyelamatkan nyawa.
“Peranti AED ini bukan sekadar peralatan, tetapi alat penyelamat yang boleh menjadi penentu antara hidup dan mati dalam situasi kecemasan,” katanya.
Sementara itu, Dato Wee merakamkan penghargaan kepada kedua-dua kelab Rotary atas komitmen berterusan melalui inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan pemasangan di Pasar Petanak ini merupakan unit keenam yang ditaja di bawah usaha tersebut.
Beliau menegaskan bahawa kejadian serangan jantung secara tiba-tiba boleh berlaku pada bila-bila masa, khususnya di kawasan tumpuan awam seperti pasar.
“Penyediaan AED serta kesedaran orang ramai mengenai penggunaannya adalah langkah penting dalam memperkukuh sistem respons kecemasan di peringkat komuniti,” ujarnya.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat menghadapi kecemasan kesihatan, sekali gus menyumbang kepada pembentukan bandar yang lebih selamat dan berdaya tahan. -EDISI UKAS