Rakyat Dinasihat Manfaatkan Projek RTP Kemudahan Sukan
SIMANGGANG: Rakyat dinasihat agar memanfaatkan kemudahan sukan yang telah dibina oleh Kerajaan Sarawak berhampiran penempatan masing-masing.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, antara kemudahan sukan berkenaan telah dibina oleh kerajaan melalui wakil rakyat mereka melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) seperti gelanggang futsal, gelanggang sepak takraw dan padang bola sepak.
"Kerajaan Sarawak telah menyediakan peruntukan RTP sebanyak RM5 juta setahun untuk membolehkan wakil rakyat mereka melaksana pelbagai projek termasuk membina kemudahan sukan dalam kawasan tadbir masing-masing.
"Kemudahan-kemudahan sukan yang menelan kos perlaksanaan ratusan ribu ringgit ini kemudiannya perlu dimanfaatkan oleh rakyat dengan mengadakan pelbagai aktiviti sukan ke arah mewujudkan budaya hidup sihat dalam kalangan diri mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Futsal anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Rose Emma, Temudok Atas, Sri Aman, baru-baru ini.
Datuk Francis yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang mahu rakyat memanfaatkan kemudanan di bawah projek RTP seperti dewan serbaguna untuk menganjurkan program komuniti demi mempertingkat tahap sosial hidup mereka.
Beliau pada majlis itu kemudiannya meluluskan peruntukan RTP bagi tahun 2027 berjumlah RM200,000 untuk melaksanakan kerja menaik taraf gelanggang futsal Kampung Temudok Atas, Sri Aman.
Terdahulu, pertandingan futsal berkenaan menyaksikan pasukan Miasim FT muncul johan dan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,000, pingat dan piala iringan.
Pasukan Datus FT muncul sebagai naib johan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM800 serta pingat dengan pasukan Lnd FT dan Octopus FT pula muncul sebagai pemenang tempat ketiga bersama dan membawa hadiah wang RM300 serta piala.
Sejumlah 15 pasukan mengambil bahagian dalam pertandingan selama sehari itu dengan Mohamad Rafiq serta Muhamad Izwandy dari Miasim FT masing-masing diumum sebagai penjaring gol terbanyak dan penjaga gol terbaik.
Hadir sama, Pengerusi JKKK Kampung Temudok Atas Rose Emma Stanley Gate dan Ahli Majlis Daerah Sri Aman Micheal Pillow Lachen. -EDISI UKAS