Isu Air Sibu Berpunca Infrastruktur Usang, Kerajaan Negeri Ambil Tindakan Menyeluruh
SIBU: Isu gangguan bekalan air yang melanda kawasan Sibu dan Sibu Jaya dikenal pasti berpunca daripada kelemahan infrastruktur lama yang diwarisi sejak sekian lama, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi.
Menurut beliau, keadaan tersebut bukan disebabkan kelemahan pentadbiran semasa, sebaliknya berpunca daripada sistem bekalan air sedia ada yang telah usang dan tidak lagi mampu menampung permintaan semasa.
Katanya, walaupun kawasan berkenaan sering dikategorikan sebagai bandar, hakikatnya ia masih mempunyai ciri infrastruktur luar bandar, termasuk penggunaan paip lama yang kebanyakannya berusia lebih 40 tahun.
“Kerajaan negeri pada masa ini mewarisi kekangan tersebut, namun komited mengambil tanggungjawab dengan menyalurkan peruntukan besar bagi membina loji baharu serta menaik taraf kemudahan sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta penduduk tempatan di Loji Rawatan Air Salim, Sibu pada Selasa.
Sehubungan itu, Dato Sri Julaihi menyeru penduduk agar memahami cabaran sebenar dalam menangani isu bekalan air, khususnya di kawasan Sibu Jaya yang kerap berdepan gangguan.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan penyelesaian masalah bekalan air melibatkan proses yang kompleks, merangkumi pencarian sumber air, pembinaan loji rawatan, pemasangan sistem agihan paip serta pembinaan stesen penggalak.
Tambahnya, setiap loji yang siap dibina perlu melalui fasa pengujian dan pentauliahan (Testing and Commissioning) bagi memastikan tekanan dan kestabilan bekalan sebelum disalurkan kepada pengguna.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah meluluskan peruntukan keseluruhan sebanyak RM7 bilion bagi projek bekalan air di seluruh negeri.
Daripada jumlah tersebut, RM5.9 bilion diperuntukkan untuk pembinaan loji rawatan air dan menaik taraf sistem grid, manakala RM1.1 bilion lagi bagi penggantian paip sepanjang 2,743 kilometer.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Chieng Jin Ek; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Joshua Ting Fu Ying, Residen Bahagian Sibu Abang Mohammad Porkan Abang Budiman, Pegawai Daerah Sibu Tsong Chow Choon, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak Ahmad Salihin Che Said, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Malseni Jamal serta Temenggong Dato Vincent Lau Lee Ming.- EDISI UKAS