Pasukan Antarabangsa Mula Tiba Meriahkan Borneo IRT 2026 di Miri
MIRI: Menjelang pembukaan Borneo International Robot Tournament (Borneo IRT) 2026, kehadiran pasukan antarabangsa yang mula tiba di bandar raya ini menyemarakkan lagi suasana kejohanan berprestij berkenaan yang akan berlangsung dari 6 hingga 9 Mei.
Pertandingan yang dianjurkan oleh SMK Chung Hua (CF) Miri itu bakal berlangsung di Grand Ballroom, Meritz Hotel, dan dijangka menghimpunkan lebih 260 pasukan dari dalam serta luar negara.
Daripada jumlah tersebut, kira-kira 200 pasukan mewakili Malaysia manakala selebihnya terdiri daripada penyertaan antarabangsa termasuk dari Jepun, Korea Selatan, Vietnam, Thailand, Mexico dan Chinese Taipei, sekali gus mencerminkan daya tarikan global kejohanan ini.
Perkembangan terkini menyaksikan beberapa pasukan dari Jepun, Mexico, Chinese Taipei dan Vietnam telahpun tiba dan selesai menjalani proses pendaftaran, selain memulakan persiapan awal termasuk sesi penyesuaian serta taklimat pertandingan.
Selain pertandingan robotik, Borneo IRT 2026 turut menampilkan persidangan robotik antarabangsa dan sesi interaksi bersama pakar industri, menjadikannya platform penting dalam memperkasa pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Kehadiran peserta antarabangsa ini bukan sahaja memperkukuh jaringan kolaborasi global dalam bidang teknologi, malah dijangka memberi limpahan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Penganjuran kejohanan ini sekali gus mengukuhkan kedudukan Miri sebagai destinasi utama bagi acara berteraskan teknologi bertaraf antarabangsa serta hab pembangunan bakat muda dalam bidang robotik dan inovasi.-EDISI UKAS