Mercu Tanda Ikonik Kuching Bakal Diterangi Cahaya Merah Sempena Hari Talasemia Antarabangsa
KUCHING: Beberapa mercu tanda utama di Bandaraya Kuching bakal disinari cahaya merah sebagai simbol solidariti dan sokongan terhadap pesakit talasemia sempena Hari Talasemia Antarabangsa yang disambut pada 8 Mei setiap tahun.
Sebagai tanda sokongan, bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak turut akan diterangi pada jam 7.30 malam, sekali gus menjadi tumpuan utama dalam usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap penyakit genetik tersebut.
Turut menyokong usaha berkenaan ialah Jambatan Darul Hana yang menyertai kempen ini buat tahun kedua berturut-turut, serta Jambatan Gantung Satok yang turut dihiasi pencahayaan merah bagi memperkukuh mesej kesedaran dan sokongan komuniti.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Thalassaemia Sarawak, dengan sokongan daripada Pejabat Dewan Undangan Negeri Sarawak serta Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaksanaan pencahayaan di lokasi terlibat.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada Grit Event Management atas bantuan dalam penyelarasan dan komunikasi sepanjang penganjuran inisiatif tersebut.
Hari Talasemia Antarabangsa merupakan platform penting dalam usaha meningkatkan kesedaran global mengenai penyakit talasemia, di samping menggalakkan saringan awal, rawatan berterusan serta sokongan kepada pesakit dan keluarga.
Talasemia ialah penyakit darah keturunan yang menjejaskan penghasilan hemoglobin normal, menyebabkan pesakit mengalami anemia, keletihan serta komplikasi lain dan memerlukan rawatan sepanjang hayat termasuk pemindahan darah secara berkala.
Penubuhan Sarawak Thalassaemia Society sejak 1995 terus memainkan peranan signifikan dalam menyediakan sokongan, kaunseling serta memperjuangkan akses rawatan yang lebih baik kepada pesakit di negeri ini.
Penganjuran program ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan masyarakat terhadap pesakit talasemia, malah menjadi wadah penting dalam memperkukuh penglibatan komuniti serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan pencegahan dan rawatan penyakit tersebut di Sarawak.-EDISI UKAS