SIMUNJAN: Sebanyak 26 projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi Daerah Simunjan yang dijadualkan untuk dilaksanakan pada tahun 2027 telah dikenal pasti menerusi siasatan awal tapak yang diadakan dengan penglibatan pelbagai agensi pelaksana dan pemegang taruh, pada Selasa.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 23 projek merupakan RTP Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala tiga lagi projek adalah di bawah RTP Ahli Parlimen.
Projek-projek yang dicadangkan melibatkan kerja-kerja bina baharu serta naik taraf kemudahan dan infrastruktur asas, termasuk kemudahan awam, sistem perparitan, laluan perhubungan serta keperluan lain yang dikenal pasti berdasarkan permohonan dan keutamaan penduduk setempat.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, turut serta dalam siri siasatan awal tersebut bagi meninjau sendiri lokasi cadangan projek serta mendapatkan gambaran sebenar keadaan di lapangan.
Kehadiran beliau juga membolehkan penyelarasan dibuat secara terus bersama agensi terlibat, selain memastikan setiap cadangan projek memenuhi keperluan sebenar komuniti.
Siasatan awal tapak ini bertujuan menilai kesesuaian lokasi projek dari aspek teknikal dan praktikal, termasuk keadaan tanah, akses jalan, sistem saliran serta faktor keselamatan.
Ia juga menjadi platform penting untuk mengenal pasti cabaran awal yang berpotensi timbul serta membolehkan langkah mitigasi dirancang lebih awal sebelum pelaksanaan sebenar dimulakan.
Melalui sesi turun padang ini, setiap agensi turut berpeluang memberikan pandangan teknikal, mencadangkan penambahbaikan skop projek serta memastikan pematuhan kepada garis panduan dan spesifikasi yang ditetapkan.
Selain itu, perbincangan di tapak turut membantu mempercepatkan proses penyelarasan antara agensi, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan semasa pelaksanaan. -EDISI UKAS