Tilawah Al-Quran Perkasa Bakat, Angkat Nama Sarawak ke Persada Antarabangsa
KUCHING: Kejayaan berterusan wakil Sarawak dalam kejohanan tilawah Al-Quran membuktikan keberkesanan pendekatan pembangunan bakat yang tersusun, sekali gus mengangkat martabat negeri hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Ketua Penyelia Guru Al-Quran, Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana, Majlis Islam Sarawak, Dato Ismawi Duet berkata, pencapaian tersebut menjadi suntikan semangat untuk terus melahirkan qari dan qariah berpotensi tinggi.
“Ini merupakan satu suntikan besar kepada Sarawak bahawa kita mampu berdiri sama tinggi dengan negeri lain, malah berpotensi melangkah lebih jauh ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam program Juh Randau anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Rabu.
Menurut beliau, kejayaan itu hasil sokongan padu kerajaan negeri serta latihan intensif dan bimbingan berterusan yang memberi penekanan kepada aspek tajwid, taranum serta penjagaan kesihatan peserta.
Sementara itu, johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M, Ustazah Nursyakura Mohd Musa menzahirkan rasa syukur atas kemenangan yang disifatkan sebagai rezeki serta hasil usaha kolektif pelbagai pihak.
“Alhamdulillah, kemenangan ini bukan hasil saya seorang tetapi hasil didikan guru, sokongan ibu bapa, keluarga serta Kerajaan Sarawak.
“Cabaran terbesar adalah untuk kekal istiqamah dalam latihan dan mengawal perasaan gemuruh, namun dengan sokongan dan kekuatan rohani, ia dapat diatasi,” katanya.
Beliau yang menyertai pertandingan sebanyak enam kali sebelum ini turut meraih markah tertinggi keseluruhan, hasil persediaan rapi sejak awal melibatkan latihan konsisten, disiplin menjaga kesihatan serta pengukuhan mental dan rohani.
Tambahnya, persiapan kini dipergiat sebagai persediaan menghadapi pertandingan tilawah peringkat antarabangsa yang dijadual berlangsung pada Oktober depan di Kuala Lumpur.
Program Juh Randau berkenaan menjadi platform perkongsian pengalaman serta inspirasi kepada masyarakat dalam memperkukuh penghayatan al-Quran, di samping menyokong usaha berterusan Kerajaan Sarawak melahirkan generasi celik al-Quran yang mampu mengharumkan nama negeri di persada global.-EDISI UKAS