Naik Taraf Taman Rekreasi Bintangor Lancar, Tarikan Baharu Komuniti
MERADONG: Projek menaiktaraf Tapak Taman Rekreasi Bintangor menunjukkan perkembangan positif apabila pelaksanaannya berjalan lancar hasil kerjasama bersepadu antara pelbagai agensi terlibat.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing yang menyaksikan mesyuarat penyelarasan projek berkenaan, di sini, pada Rabu.
Katanya, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada status semasa projek termasuk kemajuan kerja menaiktaraf serta penyelarasan teknikal bagi memastikan pelaksanaan berada pada landasan yang ditetapkan.
“Setakat ini, saya amat berpuas hati dengan perkembangan projek yang dilihat berjalan dengan teratur dan mengikut perancangan hasil komitmen semua pihak,” katanya.
Dalam perbincangan itu, aspek kualiti pembinaan, keselamatan tapak serta keperluan teknikal turut diberi penekanan bagi memastikan hasil akhir projek memenuhi piawaian yang ditetapkan dan memberi manfaat optimum kepada penduduk setempat.
Beliau turut menegaskan kepentingan mengekalkan momentum pelaksanaan agar projek dapat disiapkan mengikut jadual, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kawasan Bintangor secara menyeluruh.
Tambahnya, projek menaiktaraf ini dijangka menjadi antara kemudahan awam utama di kawasan tersebut, selain berpotensi menarik kehadiran pengunjung dan menyediakan ruang rekreasi yang lebih selesa, moden serta selamat untuk seisi keluarga.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan kemudahan riadah, malah turut memberi nilai tambah kepada kualiti hidup masyarakat setempat,” ujarnya lagi.
Hadir sama, Penolong Pegawai Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) Nur Fazira Ishak dan Jurutera Majlis Daerah Meradong Julau (MDMJ) Nur Hazirah Sadong. -EDISI UKAS