Kerajaan Sarawak Salur Bantuan Segera RM17,600 kepada Mangsa Kebakaran Kampung Bunut
MUKAH: Tindakan pantas Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan segera berjumlah RM17,600 kepada mangsa kebakaran di Kampung Bunut membuktikan keprihatinan berterusan terhadap kebajikan rakyat yang ditimpa musibah.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, bantuan tersebut disampaikan terus kepada mangsa bagi meringankan beban mereka dalam tempoh mencabar selepas kehilangan tempat tinggal.
Beliau yang turun padang meninjau keadaan turut diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine, Pemangku Residen Bahagian Mukah Shafrie Saili dan Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah Dariel Thiong Yiew Seng.
Daripada jumlah tersebut, mangsa dikenali sebagai Malik menerima Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM300 selain bantuan bahan binaan, pakaian harian dan wang saku.
Sementara itu, keluarga Haiqal turut menerima TBS berjumlah RM300 bersama bantuan pakaian sekolah, peralatan persekolahan, pakaian harian serta wang saku.
Terdahulu, kejadian kebakaran yang berlaku sekitar jam 9.23 pagi Rabu lalu telah memusnahkan dua buah rumah sepenuhnya di Kampung Bunut.
Bagaimanapun, insiden tersebut tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa. -EDISI UKAS