2,126 Penerima Bantuan Di Serian Terima Bantuan Sejambak Kasih Hari Gawai
TEBEDU: Seramai 2,126 penerima bantuan aktif di Bahagian Serian menerima manfaat menerusi Program Sejambak Kasih Hari Gawai 2026 yang berlangsung di Rumah Panjang Kampung Daha Kisau, Amo, pada Rabu.
Daripada jumlah tersebut, seramai 100 penerima telah menerima sumbangan secara simbolik pada majlis perasmian, manakala selebihnya akan menerima bantuan melalui pengkreditan terus ke akaun bank masing-masing.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Muhammad Razi Sitam berkata, Majlis Sejambak Kasih bukan sekadar acara tahunan, malah merupakan platform penting bagi kerajaan negeri melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) untuk memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, terutamanya golongan warga emas, berpendapatan rendah dan mereka yang memerlukan sokongan sosial.
“Sejambak kasih yang disampaikan hari ini melambangkan nilai kasih sayang, kebersamaan dan semangat kekeluargaan dalam masyarakat,” katanya.
Selain itu, beliau turut berkongsi statistik perkhidmatan JKMS di kawasan Tebedu, termasuk 696 kes bantuan bulanan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM300,650.
Ujarnya, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Tebedu yang ditubuhkan pada Oktober 2025 kini mempunyai 141 ahli dan memainkan peranan sebagai pusat aktiviti komuniti warga emas.
"Dalam aspek kebajikan lain, sebanyak 51 permohonan kad OKU direkodkan sejak Januari 2025, manakala bantuan bencana melibatkan empat kes dengan jumlah keseluruhan RM25,000.
"Kes kanak-kanak turut diberi perhatian dengan 86 kes direkodkan pada tahun 2025 dan 27 kes bagi tahun 2026 setakat ini," ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan seperti Senior Citizen Health Benefit (SCHB) yang memberi manfaat kepada 2,450 penerima, Kenyalang Gold Card (KGC) melibatkan 958 penerima serta Bantuan Ihsan Kematian (BIK) dengan 151 kes diluluskan. -EDISI UKAS