Kualiti Projek Tidak Boleh Dikompromi, Tangguh Penyerahan Dewan
LUNDU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang menegaskan aspek kualiti projek pembangunan tidak boleh dikompromi apabila penyerahan Projek Bina Baru Dewan Serbaguna Kampung Pasir Tengah ditangguhkan susulan hasil kerja kontraktor yang masih belum memuaskan.
Menurut beliau, beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum dewan tersebut boleh diserahkan secara rasmi kepada pihak kampung demi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk.
“Kerajaan sentiasa komited memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat optimum kepada rakyat serta memenuhi piawaian dan spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan Lawatan Tapak Projek Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) serta sesi Penyerahan Projek Siap bagi beberapa projek di kawasan Lundu pada Rabu.
Dalam lawatan tersebut, Billy turut meninjau tapak projek Membina Baru Jeti Nelayan di Kampung Selampit 2 yang dilihat mampu memberi kemudahan lebih selesa dan selamat kepada golongan nelayan darat dalam menjalankan aktiviti harian mereka.
Beliau turut melihat perkembangan projek Menaiktaraf Padang Sukan di Kampung Sebandi Hulu yang dijangka menjadi pusat aktiviti sukan, riadah dan komuniti khususnya untuk golongan belia serta kanak-kanak di kawasan itu.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa setiap projek pembangunan kerajaan perlu dipantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut tempoh masa, spesifikasi dan standard kualiti yang ditetapkan demi kepentingan rakyat.-EDISI UKAS