105 Graduan I-Systems College Kuching Perkukuh Keperluan Tenaga Kerja Profesional
KUCHING: Seramai 105 graduan I-Systems College Kuching diraikan dalam Majlis Konvokesyen 2026, sekali gus memperkukuh pembangunan tenaga kerja profesional dalam bidang kesihatan, keselamatan pekerjaan dan pendidikan awal kanak-kanak.
Majlis tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni yang turut menyampaikan sijil kepada para graduan di Penview Hotel Kuching pada Rabu.
Dalam ucapannya, beliau berharap para graduan akan terus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri selaras dengan aspirasi pendidikan tinggi negara.
Majlis konvokesyen tersebut menghimpunkan graduan daripada beberapa program utama termasuk Diploma Kejururawatan, Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak serta Diploma Pengurusan Penjagaan Kesihatan.
Menurut kenyataan media, program Diploma Kejururawatan yang telah beroperasi lebih 20 tahun berjaya melahirkan lebih 1,000 graduan dan mendapat akreditasi penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) serta kelulusan Lembaga Jururawat Malaysia (LJM).
Selain itu, program Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan memberi fokus kepada pembangunan kemahiran pengurusan risiko serta keselamatan tempat kerja bagi memenuhi permintaan industri seperti pembinaan, pembuatan serta minyak dan gas.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik cemerlang dan prestasi keseluruhan sepanjang pengajian.
Penganjuran konvokesyen tersebut mencerminkan komitmen berterusan I-Systems College Kuching dalam melahirkan graduan berpengetahuan, berintegriti dan berdaya saing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja profesional serta menyokong pembangunan Sarawak.-EDISI UKAS