MQNKSS Platform Cungkil Bakat, Perkukuh Penghayatan Al-Quran Dalam Kalangan Murid
DARO: Penganjuran Mahrajan Al-Quran, Nasyid dan Khat Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (MQNKSS) menjadi platform penting dalam mencungkil bakat murid dalam bidang tilawah, hafazan, nasyid dan seni khat, sekali gus memperkukuh penghayatan terhadap ajaran al-Quran serta nilai-nilai Islam.
Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi berkata, murid-murid perlu terus digalakkan mendekati dan menghayati al-Quran melalui penglibatan dalam seni nasyid dan khat sebagai asas pembentukan sahsiah unggul.
“Program seperti ini mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki jati diri, akhlak terpuji dan penghayatan Islam yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis perasmian penutupan MQNKSS Peringkat Bahagian Mukah Tahun 2026 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Hijrah Badong, di sini, pada Rabu.
Menurut Ahmad Johnie, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja dapat menggilap potensi murid dalam bidang kesenian Islam, malah berperanan membentuk generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing selaras dengan aspirasi reformasi pendidikan negara.
Mengangkat tema “Adab dan Nilai Nadi Reformasi Pendidikan”, program ini menghimpunkan penyertaan dari daerah di bawah Bahagian Mukah melibatkan Pendidikan Daerah Daro, Dalat dan Mukah merangkumi sekolah rendah dan menengah.-EDISI UKAS