RTP Salur RM500,000 Laksana Projek Infrastruktur Luar Bandar Di Pakan
PAKAN: Sebanyak RM500,000 diperuntukkan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi melaksanakan projek infrastruktur asas di kawasan Rumah Jonathan Mingan, Beruru, sekali gus memperkukuh pembangunan luar bandar di kawasan Pakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom berkata, pendekatan RTP membolehkan projek yang benar-benar diperlukan rakyat dilaksanakan secara lebih cepat, tersusun dan berimpak tinggi.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Projek RTP di Rumah Jonathan Mingan pada Khamis.
Menurut beliau, antara projek yang telah siap dilaksanakan ialah pembinaan gereja dan jambatan yang masing-masing melibatkan kos RM200,000 serta projek jalan simen bernilai RM100,000.
Tambah beliau, pelaksanaan projek infrastruktur seperti jalan kampung, jambatan dan kemudahan komuniti amat penting dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat serta memperkukuh jaringan perhubungan luar bandar.
Katanya, RTP turut memberi ruang kepada wakil rakyat menentukan keutamaan pembangunan berdasarkan keperluan sebenar penduduk di kawasan masing-masing.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pembangunan infrastruktur secara berperingkat mampu memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat luar bandar selain memastikan kemudahan asas dapat dinikmati secara lebih seimbang dan menyeluruh.
Pelaksanaan RTP terus mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam mempercepat agenda pembangunan luar bandar menerusi penyediaan infrastruktur yang sistematik, inklusif dan berdaya impak tinggi kepada rakyat.-EDISI UKAS