Masalah Liputan Internet & Telekomunikasi Di Kampung Asajaya Laut Diberi Perhatian Segera
ASAJAYA: Masalah capaian internet dan liputan telekomunikasi yang lemah di Kampung Asajaya Laut mendapat perhatian segera apabila Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang turun padang meninjau sendiri keadaan di kawasan tersebut pada Jumaat.
Lawatan itu diadakan sejurus selesai sesi perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), SACOFA serta syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi berhubung isu kelemahan rangkaian di kawasan Parlimen Kota Samarahan.
Menurut beliau, pemantauan di lapangan amat penting bagi membolehkan semua pihak melihat sendiri tahap kelemahan signal serta masalah liputan internet yang dihadapi penduduk setempat.
“Kita tidak mahu hanya mendengar laporan di atas kertas, sebaliknya mahu turun sendiri ke kawasan terjejas supaya tindakan penyelesaian dapat dibuat secara lebih tepat dan berkesan,” katanya.
Hasil tinjauan mendapati masih terdapat beberapa kawasan yang mengalami capaian internet lemah dan tidak stabil sehingga menjejaskan urusan harian masyarakat.
Beliau menambah, keadaan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada komunikasi penduduk, malah turut menjejaskan urusan pendidikan, aktiviti ekonomi serta akses kepada perkhidmatan digital yang kini menjadi keperluan utama rakyat.
Datuk Rubiah turut menegaskan supaya semua pihak berkaitan mengambil tindakan susulan segera termasuk memperkukuhkan infrastruktur telekomunikasi dan menambah baik liputan rangkaian di kawasan yang dikenal pasti bermasalah.
“Rakyat di kawasan luar bandar dan pesisir juga berhak menikmati kemudahan komunikasi yang baik, stabil dan berkualiti seperti kawasan lain,” ujarnya.
Beliau berharap kerjasama erat antara kerajaan, SKMM, SACOFA dan syarikat penyedia telekomunikasi dapat terus diperkukuhkan demi memastikan penduduk di Parlimen Kota Samarahan menikmati capaian internet yang lebih pantas, stabil dan menyeluruh selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Turut hadir Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin serta Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razak.-EDISI UKAS