Fit & Fun Run Saberkas 2026 Tarik 530 Peserta, Galak Gaya Hidup Aktif
MUKAH: Seramai 530 peserta membanjiri Dataran Pehin Setiaraja bagi menyertai program Fit & Fun Run Saberkas 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh meriah, pada Sabtu.
Program anjuran Biro Wanita Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Negeri Sarawak dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) Bahagian Mukah serta Pejabat Daerah itu diadakan bagi memperkasa budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia.
Acara tersebut mempertandingkan kategori larian sejauh lima kilometer (KM) dan fun walk tiga KM yang berjaya menarik penyertaan peserta daripada pelbagai lapisan umur dan latar belakang.
Timbalan Pengerusi Biro Wanita Saberkas Negeri Sarawak, Warziedea Ahmad berkata, penganjuran program seumpama itu bukan sahaja menjadi platform menggalakkan gaya hidup aktif, malah berperanan memperkukuh hubungan silaturahim serta semangat perpaduan dalam komuniti.
Menurut beliau, aktiviti riadah yang dilaksanakan secara konsisten mampu memberi impak positif terhadap kesejahteraan fizikal dan mental, terutama dalam kalangan belia pasca pandemik COVID-19.
“Melalui program seperti fun run dan maraton, kita dapat menggalakkan anak-anak belia mengamalkan gaya hidup sihat.
"Jika aktiviti seperti ini dilaksanakan secara berkala, ia dapat membantu menangani masalah seperti stress, kemurungan dan gejala negatif lain dalam kalangan belia selepas pandemik COVID-19,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut.
Sementara itu, Penyelaras Program, Norazryna Abdul Rahman berharap program sedemikian dapat diteruskan secara konsisten di Bahagian Mukah bagi menarik lebih ramai penyertaan belia dalam aktiviti berteraskan kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Menurutnya, program seperti Fit & Fun Run wajar dianjurkan sekurang-kurangnya tiga kali setahun sebagai usaha berterusan membudayakan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.
Dalam kategori fun run, Fazrul muncul juara dengan catatan masa 16 minit 35 saat sekali gus membawa pulang wang tunai RM500.
Tempat kedua dimenangi Rizqi dengan catatan masa 16 minit 45 saat dan menerima hadiah RM300, manakala tempat ketiga menjadi milik Desvidhel dengan catatan masa 17 minit 51 saat serta membawa pulang RM200.-EDISI UKAS