Pengarah UKAS Ziarahi Makam Pahlawan Rosli Dhobi di Sibu
SIBU: Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan meluangkan masa menziarahi Makam Pahlawan Rosli Dhobi yang terletak di pekarangan Masjid An-Nur Sibu, pada Sabtu.
Kehadiran beliau bertujuan memberi penghormatan kepada pejuang kemerdekaan Sarawak itu yang disemadikan bersama tiga lagi rakan seperjuangannya iaitu Awang Ramli Amit, Bujang Suntong dan Morshidi Sidek.
Dalam lawatan ringkas kira-kira 20 minit itu, Awang Putrayusrie turut membacakan surah Al-Fatihah serta mendoakan agar roh keempat-empat pejuang tanah air berkenaan dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Beliau diiringi Ketua Penolong Pengarah UKAS, Joachim Paggang Jabong, Awangku Hazwan Awg Habuan serta dua pegawai UKAS Bahagian Sibu iaitu Awang Julaihi Awang Ali Bohan dan Khalid Zaini.
Terdahulu, Awang Putrayusrie hadir merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan anjuran Seksyen Pengurusan Talikhidmat UKAS, Jabatan Premier Sarawak di Dewan LAKIS Sibu yang terletak bersebelahan makam pahlawan tersebut.
Program berkenaan disertai Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari sekitar Bahagian Sibu bagi memperkukuh pengetahuan mengenai perkhidmatan yang disediakan Kerajaan Sarawak serta memperkenalkan aplikasi Talikhidmat sebagai medium penyampaian aduan dan maklum balas rakyat. - EDISI UKAS