Bau Tourism And Cultural Park Fasa Dua Disasar Dalam Rolling Plan 2028
BAU: Cadangan pembangunan Bau Tourism and Cultural Park Fasa Dua di Tasik Bikajang disasar untuk dimasukkan dalam Rolling Plan 2028 sebagai usaha memperkukuh sektor pelancongan warisan dan merancakkan ekonomi setempat di daerah Bau.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing berkata, kementeriannya akan terus menyokong usaha pembangunan projek tersebut sebelum dibawa kepada Kementerian Ekonomi untuk pertimbangan lanjut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat sempena lawatan tapak Cadangan Projek Bau Tourism and Cultural Park pada Sabtu.
Menurut beliau, proses permohonan bagi Rolling Plan tahun hadapan telah ditutup dan pihaknya akan berusaha memastikan cadangan projek tersebut dapat dipertimbangkan dalam Rolling Plan 2028.
“Rolling Plan untuk tahun depan sudah ditutup dan kita akan cuba sedaya upaya membantu mengemukakan cadangan tersebut dalam Rolling Plan 2028,” katanya.
Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Henry Harry Jinep.
Terdahulu, Dato Sri Tiong King Sing diberi taklimat mengenai pembangunan Fasa Satu projek tersebut yang telah diluluskan peruntukan sebanyak RM7.15 juta di bawah Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA).
Dalam sesi pembentangan sama, anggaran kos bagi pembangunan Fasa Dua projek berkenaan dicadangkan bernilai RM12.5 juta.
Difahamkan, konsep pembangunan Bau Tourism and Cultural Park bukan sahaja mengekalkan elemen sejarah perlombongan emas di Bau, malah menggabungkan pendekatan moden bagi mewujudkan hab pelancongan bersepadu berteraskan budaya, warisan, rekreasi dan pendidikan.
Projek tersebut juga dijangka menghubungkan beberapa ikon pelancongan utama di Bau termasuk Gua Hantu, tapak peninggalan lombong emas dan Tasik Bikajang.
Pelaksanaan projek berkenaan dilihat berpotensi memperkukuh daya tarikan pelancongan Bau sekali gus merancakkan pembangunan ekonomi setempat menerusi sektor pelancongan berasaskan warisan dan alam semula jadi.- EDISI UKAS