MBKS Kekal Kadar Sewa Rendah Demi Kelangsungan Penjaja Kecil
KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) akan terus mengekalkan kadar sewa rendah di pasar dan pusat penjaja di bawah pentadbirannya bagi memastikan golongan penjaja kecil terus berdaya tahan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Datuk Bandar MBKS, Dato Wee Hong Seng berkata, langkah itu penting bagi memastikan peniaga kecil dapat terus menyediakan makanan pada harga berpatutan kepada masyarakat selain mengekalkan fungsi pasar sebagai pusat interaksi komuniti.
Menurut beliau, pasar tradisional dan pusat penjaja bukan sekadar lokasi jual beli, malah menjadi ruang sosial yang menghubungkan masyarakat pelbagai lapisan umur termasuk golongan warga emas dan generasi muda.
“Kita mahu memastikan mereka dapat terus bertahan dan terus menyumbang kepada masyarakat dengan menyediakan makanan pada harga munasabah.
“Jika mereka mampu bertahan, rantaian bekalan makanan kepada rakyat juga dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Reunion dan Makan Tengah Hari Bersama Penjaja dan Komuniti MBKS di Pasar Komuniti Stutong pada Ahad.
Tambah beliau, MBKS yang memiliki jumlah pasar paling banyak berbanding pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Sarawak kini giat melaksanakan pelbagai usaha menaik taraf kemudahan pasar selain menarik lebih ramai penyertaan generasi muda dalam industri penjajaan.
Katanya, MBKS turut memberi peluang kepada pengusaha muda memperkenalkan menu dan konsep makanan baharu bagi memastikan pusat penjaja kekal relevan serta mampu menarik pelanggan khususnya golongan belia.
Dalam perkembangan lain, Dato Wee menegaskan bahawa tindakan membuang bangkai anjing ke dalam sungai adalah satu kesalahan di bawah undang-undang kecil kebersihan dan tidak sepatutnya berlaku walaupun masyarakat memahami kemarahan orang awam susulan insiden serangan anjing liar baru-baru ini.
Beliau berkata, MBKS memandang serius isu keselamatan awam khususnya berkaitan ancaman rabies dan menggesa individu yang terlibat dalam usaha menyelamat mangsa serangan supaya segera mendapatkan pemeriksaan kesihatan serta suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan.
“Kita lebih bimbang terhadap individu yang mengendalikan anjing tersebut kerana kita tidak tahu sama ada terdapat calar atau jangkitan.
“Keselamatan manusia mesti menjadi keutamaan,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau turut menyeru pemilik haiwan peliharaan supaya lebih bertanggungjawab dengan memastikan haiwan dipelihara dengan baik dan tidak dilepaskan berkeliaran sehingga boleh mengancam keselamatan awam. -EDISI UKAS