Sibu Tuan Rumah Sambutan Hari Sarawak 2026, 5,000 Orang Dijangka Hadir
KUCHING: Sambutan Hari Sarawak 2026 yang bakal berlangsung di Sibu dari 20 hingga 22 Julai depan dengan jangkaan lebih 5,000 orang akan menghadiri sambutan itu nanti.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sambutan tahun ini akan menampilkan pelbagai program bersifat inklusif yang mencerminkan identiti unik Sarawak sebagai negeri berbilang kaum dan agama.
“Penglibatan ketua masyarakat, ketua kaum dan masyarakat hendaklah menyeluruh melibatkan zon tengah bagi menjayakan pengisian sambutan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sarawak Peringkat Sarawak Bilangan 1/2026, di sini, pada Khamis.
Antara pengisian utama yang dirancang ialah Karnival Jualan di bawah penyelarasan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapa’ee.
Selain itu, Majlis Kesyukuran Agama-agama Lain akan diadakan di Kingwood Hotel di bawah tanggungjawab Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil.
Program Zumba dan Unity yang dijadual berlangsung di Dataran Tun Tuanku Haji Bujang pula akan diselaras oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Dalam pada itu, Majlis Kesyukuran turut akan diadakan di Masjid An-Nur, manakala sesi Townhall dijadual berlangsung di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud.
Kedua-dua program berkenaan masing-masing diselaras oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Acara kemuncak iaitu Perhimpunan Hari Sarawak dan Konsert Rakyat pula akan berlangsung di bawah penyelarasan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh. -EDISI UKAS