MA63: Tuntutan Satu Pertiga Kerusi Parlimen Benteng Terakhir Pastikan Hak Sarawak Tidak Dicabuli
KUCHING: Tuntutan satu pertiga kerusi parlimen bagi Sarawak dan Sabah sepertimana yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar angka, tetapi benteng terakhir dalam memastikan hak negeri ini terpelihara selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, tuntutan berkenaan merupakan ‘hak veto’ untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipinda secara bersendirian oleh pihak Semenanjung tanpa persetujuan Wilayah Borneo.
“Ia adalah benteng terakhir bagi menjamin identiti dan hak Sarawak di bawah MA63 tidak dicabuli,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Khamis.
Dalam perkembangan tuntutan sektor pendidikan dan kesihatan, beliau menyeru agar Kerajaan Sarawak terus konsisten mendesak desentralisasi kuasa agar negeri ini tidak lagi terbelenggu oleh birokrasi Putrajaya dalam menangani isu sekolah dan klinik daif.
“Kita menuntut kuasa penuh dalam pengambilan guru melalui dasar 90 peratus anak jati Sarawak dan 10 peratus tenaga luar serta autonomi pentadbiran bagi memastikan sistem perkhidmatan disesuaikan dengan keperluan unik geografi dan demografi rakyat kita,” tegasnya. -EDISI UKAS