Pembangunan Berterusan Perkukuh Ekonomi, Buka Peluang Pekerjaan Berkualiti Anak Sarawak
KUCHING: Pendekatan pembangunan berterusan yang dilaksanakan kerajaan Sarawak terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Yap Yau Sin berkata, prestasi ekonomi Sarawak yang kekal kukuh ketika ini membuktikan keberkesanan perancangan strategik kerajaan khususnya dalam sektor tenaga, pelaburan dan pembangunan industri baharu.
Menurut beliau, pembangunan pesat kawasan industri di Samalaju dan Bintulu serta peningkatan pelaburan asing memberi limpahan manfaat besar kepada rakyat terutama golongan muda melalui peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan pembangunan bakat tempatan.
“Buat pertama kali dalam tempoh yang panjang, Sarawak sedang membina ekosistem ekonomi yang mampu menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat tempatan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19 di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan ketelusan serta pemantauan berterusan terhadap pelaksanaan projek dan pelaburan yang diumumkan supaya manfaat pembangunan dapat dirasai secara menyeluruh oleh rakyat.
Dalam perbahasan sama, beliau membangkitkan beberapa isu infrastruktur di kawasan Kota Sentosa termasuk banjir kilat, sistem perparitan, jalan mendap dan gangguan bekalan air yang menurutnya sedang ditangani secara berperingkat menerusi kerjasama pelbagai agensi berkaitan.
Menurut beliau, usaha menaik taraf kemudahan asas mungkin tidak bersifat populis, namun memberi impak besar terhadap kesejahteraan rakyat serta kelancaran aktiviti harian.
Beliau turut memuji inisiatif pendidikan tertiari percuma serta usaha memperkukuh jaringan pengangkutan udara Sarawak yang dilihat mampu meningkatkan akses pendidikan, mobiliti rakyat dan pembangunan ekonomi negeri dalam jangka panjang.
Tambah beliau, Sarawak kini berada pada fasa penting pembangunan melibatkan ekonomi hijau, tenaga boleh diperbaharui, pendidikan dan transformasi industri yang memerlukan perancangan mampan serta kerjasama semua pihak. -EDISI UKAS