Kepadatan Penduduk Di Taman Samarindah Cetus Kesesakan, Perlu Jalan Alternatif
KUCHING: Kepadatan penduduk di Taman Samarindah, Kota Samarahan telah mencetuskan kesesakan terutamanya pada waktu puncak memandangkan ianya hanya bergantung kepada satu jalan akses tunggal sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, kepadatan penduduk di taman berkenaan kini mencecah 5,000 buah rumah sekaligus mendesak keperluan pembinaan jalan akses kedua demi keselamatan dan kelancaran trafik.
“Saya ingin memohon kepada pihak berkenaan agar dapat mencari laluan alternatif supaya dapat memberi kemudahan kepada penduduk setempat terutamanya ketika berlaku kecemasan,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Penghargaan atas Ucapan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Khamis.
Dalam perkembangan yang sama, beliau menegaskan isu kesesakan lalu lintas di kawasan Samarahan memerlukan satu pendekatan yang kreatif dan jangka panjang.
Menurutnya, pembinaan laluan baharu ini amat penting bagi melancarkan aliran trafik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada laluan sedia ada demi menjamin kelancaran mobiliti dan keselesaan rakyat yang berulang-alik setiap hari.
Sementara itu, beliau menambah penambahan kakitangan Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) memerlukan kajian semula daripada pihak berkaitan dalam usaha memantapkan lagi kecekapan penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Katanya, MPKS memikul tanggungjawab yang besar namun kekuatan kakitangannya hanyalah seramai 95 orang.
“Jumlah ini melibatkan empat atau lima konstituensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jumlah ini sememangnya tidak mencukupi dan saya memohon agar kementerian berkenaan dapat mengkaji semula penambahan kakitangan MPKS supaya mereka dapat menjalankan tugas yang lebih proaktif,” ujar beliau.
Menurut beliau, penambahan kuota staf dengan segera sekaligus dapat memastikan MPKS berfungsi cemerlang sebagai sebuah PBT yang setaraf dengan status perbandarannya. -EDISI UKAS