Agihan Krisantimum Semarak Sambutan Hari Ibu Di Senadin
MIRI: Sambutan Hari Ibu di kawasan Senadin disemarakkan menerusi program pengagihan bunga krisantimum kepada golongan ibu dan wanita di beberapa lokasi sekitar Permyjaya, pada Ahad.
Program berkenaan disertai Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin bersama ahli Seksyen Wanita Cawangan Kecil Riam dan Seksyen Wanita Senadin.
Aktiviti dimulakan di Pusat Komersial Morsjaya pada jam 8 pagi sebelum diteruskan di Permy Food Court dan Permy Mall sekitar jam 9 pagi.
Menerusi program tersebut, bunga krisantimum diagihkan sebagai simbol penghargaan terhadap jasa, pengorbanan serta kasih sayang golongan ibu dalam institusi keluarga dan masyarakat.
Menurut Dato Sri Lee, sambutan Hari Ibu bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform untuk mengiktiraf peranan besar golongan ibu dalam membentuk keluarga harmoni dan melahirkan generasi masa depan.
“Ibu merupakan tonggak utama dalam sesebuah keluarga. Segala pengorbanan, kasih sayang dan dedikasi mereka amat besar nilainya dan wajar dihargai,” katanya.
Beliau turut memuji usaha golongan wanita yang terus aktif melaksanakan program kemasyarakatan serta mendekati rakyat melalui aktiviti berunsurkan kebajikan dan penghargaan.
Katanya, program seumpama itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Ibu, malah memperkukuh semangat perpaduan, keprihatinan dan hubungan erat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Miri.
Pada masa sama, beliau turut mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua ibu dan berharap mereka sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kesejahteraan bersama keluarga tersayang. -EDISI UKAS