MIRI: Pentas budaya sempena Sambutan Gawai Dayak Bahagian Miri 2026 terus menyemarakkan warisan masyarakat Dayak menerusi pertandingan separuh akhir Dayung Sangon, Keligit Orang Ulu, Kumang Iban serta Keling dan Belawan pada Sabtu.
Program anjuran Jawatankuasa Perayaan Gawai Dayak Bahagian Miri itu menghimpunkan 36 peserta daripada pelbagai etnik Dayak yang tampil memperagakan pakaian tradisional, seni warisan dan identiti budaya masing-masing.
Suasana penuh warna-warni dan semangat kebersamaan jelas terpancar sepanjang pertandingan apabila golongan belia tampil mempersembahkan keunikan budaya etnik masing-masing kepada masyarakat umum.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Kr. Ugat Wan @ Jalong Wan yang mewakili Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Ahli Parlimen Sibuti, Dato Lukanisman Awang Sauni.
Pengerusi Pengelola pertandingan, Nancy Roba Ribid berkata, pertandingan tersebut bukan sekadar pentas memperagakan bakat dan penampilan, malah menjadi medium penting dalam memelihara serta memperkenalkan warisan budaya Dayak kepada generasi muda.
Menurut beliau, peserta yang mengambil bahagian turut berperanan sebagai duta kecil budaya dalam memperkenalkan identiti dan tradisi masyarakat Dayak kepada masyarakat pelbagai kaum.
Sementara itu, Kr. Ugat Wan @ Jalong Wan berkata penglibatan aktif generasi muda dalam program budaya amat penting bagi memastikan adat dan tradisi masyarakat Dayak terus relevan serta diwarisi pada masa depan.
Pertandingan tersebut menyaksikan penyertaan lapan peserta bagi kategori Kumang Iban, lapan peserta Keligit Orang Ulu, sembilan peserta Dayung Sangon serta 11 peserta bagi kategori Keling dan Belawan.
Seramai enam peserta terbaik bagi setiap kategori akan dipilih untuk mara ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung pada 16 Mei ini di Grand Ballroom, Aras 7, Meritz Hotel, Miri.-EDISI UKAS