SIBU: Sebuah balai raya baharu untuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bahagia Jaya Teku yang dibina menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) telah siap dilaksanakan dengan kos RM300,000.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata kemudahan itu disediakan sebagai pusat aktiviti penduduk setempat.
Katanya, bangunan tersebut dilengkapi ruang utama, bilik mesyuarat, bilik JKKK dan pantri bagi memenuhi keperluan komuniti di kawasan berkenaan.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa kemudahan tambahan akan disediakan untuk balai raya itu, termasuk meja, kerusi, penghawa dingin dan sistem audio dengan anggaran perbelanjaan sekitar RM100,000.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata pihaknya juga merancang menambah kemudahan lain di Kampung Bahagia Jaya Teku pada masa depan, tertakluk kepada kelulusan peruntukan RTP bagi tahun 2026 dan 2027.
Mengulas mengenai pembinaan kemudahan serupa di kawasan lain dalam DUN Nangka, beliau berkata projek berkenaan di rumah panjang dikenali sebagai Bilik JKK.
Menurutnya, sebahagian rumah panjang sudah mempunyai kemudahan itu dan usaha pembinaan akan diperluaskan ke hampir semua kawasan rumah panjang bagi 2026.
Terdahulu, Datuk Dr Annuar menyaksikan majlis penyerahan projek siap balai raya berkenaan daripada Jurutera Eksekutif (Projek Kecil) Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu, Yusmin Yaakub kepada Penghulu Kampung Bahagia Jaya Teku, Mirza Mohamad. -EDISI UKAS