Isu Bekalan Air Bersih Di Lubok Antu Terus Diperjuangkan
ENGKILILI: Isu bekalan air bersih di kawasan Parlimen Lubok Antu akan terus diperjuangkan bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan asas yang lebih baik dan selamat.
Ahli Parlimen Lubok Antu Roy Angau Gingkoi berkata, kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan asas rakyat terutama di kawasan luar bandar demi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan masyarakat.
"Saya memberi jaminan bahawa isu bekalan air bersih akan terus diperjuangkan memandangkan sebanyak 386 rumah telah berdaftar di kawasan Parlimen Lubok Antu belum mendapatkan bekalan air sepenuhnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Segulai Sejalai Nuju Pemansang Menoa P.203 Lubok Antu di Rumah Beruin, Tabut Skrang, di sini, pada Ahad.
Beliau mengambil maklum masalah penduduk yang berdepan masalah ketiadaan bekalan air bersih daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) dan masih bergantung kepada air sungai yang tidak selamat berikutan ancaman buaya.
Selain itu, penduduk juga memaklumkan masalah jalan raya yang terlalu rendah sehingga sering menyebabkan banjir ketika musim hujan serta fenomena air pasang.
Dalam pada itu, Roy turut menekankan usaha memperkasa sosioekonomi penduduk melalui latihan pemasaran asas dan perniagaan dalam talian bagi membantu masyarakat meningkatkan pendapatan.
Sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan komuniti, beliau meluluskan beberapa peruntukan iaitu geran Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) berjumlah RM200,000, geran projek kecil luar bandar (MRP) RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM8,000 kepada Gerempung Indu. -EDISI UKAS