SPAOH: Gerempung Tuai Rumah (GTR) Rimbas Ulu Debak menerima suntikan dana sebanyak RM45,000 daripada pihak kerajaan sebagai tanda sokongan berterusan terhadap kepimpinan akar umbi.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM30,000 diserahkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas manakala RM15,000 lagi diserahkan oleh Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu.
Selain itu, peruntukan khas Gawai sebanyak RM300 sepintu turut disediakan kepada setiap rumah panjang di kawasan Ulu Rimbas bagi memeriahkan sambutan perayaan serta meringankan beban penduduk.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai peruntukan pembangunan termasuk program membaik pulih rumah, menaik taraf infrastruktur luar bandar, subsidi sektor pertanian serta bantuan khas sempena Gawai kepada setiap pintu rumah panjang sebagai usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat menjelang 2030.
Malah jelas beliau, bagi tempoh dua tahun ini, lebih 50,000 anak ayam telah diagihkan kepada penduduk rumah panjang sebagai usaha menjana pendapatan.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Mantar Gawai Dayak 2026, di sini, pada Sabtu.
Mengulas mengenai pembangunan infrastruktur, beliau mendedahkan kerajaan negeri turut meluluskan projek pembinaan dan naik taraf Jalan Ulu Rimbas dengan peruntukan sebanyak RM25 juta, yang dijangka memudahkan pergerakan rakyat serta mempercepatkan pembangunan sosioekonomi kawasan setempat.
Hadir sama, Residen Bahagian Betong Datu Richard Micheal Abu Nawas, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Cassidy Morris, Ketua Pengarah Biokeselamatan, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Dr Lornie Stephen Enggong, Timbalan Pengarah Audit Dalam Jabatan Premier Sarawak Dampa Long, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Roselind Mapong Sabai, Pegawai Daerah Betong Laga Kueh Pengerusi GTR Rimbas Ulu Debak Lembang Liang. -EDISI UKAS