MATU: Usaha memperkukuh penghayatan dan kefahaman agama dalam kalangan Saudara Kita perlu dilaksanakan secara berterusan bagi membantu mereka membina jati diri Muslim yang lebih mantap serta memahami tuntutan agama secara menyeluruh.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, penganjuran Program Bicara Santai Saudara Kita Daerah Matu Daro menjadi platform penting dalam memperkasakan ilmu agama selain mengeratkan ukhuwah dalam komuniti.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada ilmu agama, malah menjadi medium mengeratkan ukhuwah dan hubungan silaturahim dalam komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Bicara Santai Saudara Kita Daerah Matu Daro di Dewan Masyarakat Kampung Jemoreng, pada Ahad.
Sementara itu jelasnya, Saudara Kita perlu terus didorong untuk menimba ilmu agama secara berterusan bagi memperkukuhkan akidah, membentuk sahsiah terpuji serta menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang Muslim.
Program anjuran Urusetia Saudara Kita (USK) Bahagian Mukah dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Mukah dan Hikmah Cawangan Mukah itu menghimpunkan seramai 100 peserta daripada USK Cawangan Matu dan USK Cawangan Daro.-EDISI UKAS