Pemeriksaan Berkala Sistem Pendawaian Sekolah Perlu Diperkasa
BELAWAI: Pemeriksaan menyeluruh secara berkala, khususnya melibatkan sistem pendawaian elektrik di sekolah-sekolah, perlu dilaksanakan segera bagi memastikan tahap keselamatan pelajar sentiasa berada pada tahap terbaik.
Ahli Parlimen Tanjung Manis Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan nyawa pelajar dan warga sekolah.
“Keselamatan pelajar tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan nyawa.
“Pemeriksaan berkala terhadap sistem pendawaian, kemudahan elektrik serta struktur bangunan sekolah perlu diberi perhatian utama, terutama di sekolah-sekolah lama dan uzur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing Pantai Belawai 2026 yang berlangsung di Pantai Belawai, di sini, pada Ahad.
Beliau diminta mengulas insiden seorang pelajar dipercayai terkena renjatan elektrik semasa mengambil wuduk di sebuah sekolah di Daro baru-baru ini.
Menurut Dato Ir Yusuf, kejadian berkenaan perlu dijadikan peringatan serius kepada semua pihak termasuk agensi dan pihak bertanggungjawab dalam penyelenggaraan infrastruktur sekolah supaya langkah pencegahan dapat dipertingkatkan.
Beliau turut menzahirkan rasa sedih terhadap insiden yang berlaku serta berharap pemeriksaan menyeluruh dapat dilaksanakan segera ke atas sekolah-sekolah yang dikenal pasti berada dalam keadaan daif.
Katanya, masih terdapat banyak sekolah khususnya di kawasan Parlimen Tanjong Manis yang memerlukan naik taraf segera demi menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selamat dan kondusif.
Tambah beliau, komitmen berterusan daripada kerajaan dan kementerian berkaitan amat diperlukan bagi memastikan kemudahan sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat digunakan.
Dalam masa sama, beliau memberi jaminan akan terus memainkan peranan membantu memastikan isu keselamatan infrastruktur sekolah diberi perhatian sewajarnya termasuk membangkitkan perkara tersebut pada sidang Parlimen akan datang demi kepentingan pelajar terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.-EDISI UKAS