Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Persidangan DUN Sarawak Ke-19 Berlangsung Penuh Istiadat
KUCHING: Majlis Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 berlangsung penuh istiadat di Dataran Perbarisan DUN Sarawak, di sini pada Isnin.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tiba tepat jam 9 pagi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi bagi menyempurnakan pembukaan rasmi persidangan berkenaan.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama anakanda Dayang Nurjihan, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Ketua-ketua Jabatan.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk panji-panji dan pasukan Kawalan Kehormatan Utama (KKU), diikuti nyanyian lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku yang dimainkan oleh pancaragam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi kemudiannya memeriksa pasukan KKU yang dianggotai seramai 105 pegawai dan anggota Batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM, diketuai DSP Amirol Mahathir Mohamad Khoiri.
Suasana istiadat turut diserikan dengan kawalan protokol rasmi serta perbarisan penuh penghormatan yang mencerminkan keutuhan institusi legislatif negeri dan tradisi pentadbiran Sarawak.
Majlis istiadat tersebut diakhiri dengan Hormat Diraja sebagai simbol penghormatan tertinggi kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak.
Persidangan DUN Sarawak Ke-19 dijadual berlangsung selama lapan hari bermula 11 hingga 20 Mei ini, dengan empat Rang Undang-Undang (RUU) dijangka dibentangkan, iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2025) 2026, RUU Perbekalan Tambahan (2026) 2026, RUU Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 serta RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak. -EDISI UKAS