Pasukan Ceria Meriahkan Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak
KUCHING: Sambutan Hari Pekerja 2026 Peringkat Sarawak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Ahad dimeriahkan lagi dengan Pertandingan Pasukan Ceria yang disertai 42 pasukan daripada pelbagai jabatan dan agensi.
Pertandingan yang menjadi antara tarikan utama sambutan itu menyaksikan Jabatan Hutan Sarawak muncul juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,600, medal, hamper bernilai RM400 serta sijil.
Tempat kedua dimenangi Jabatan Tenaga Kerja Sarawak yang membawa pulang wang tunai RM1,120 bersama medal, hamper bernilai RM300 dan sijil.
Sementara itu, Dewan Bandaraya Kuching Utara di tempat ketiga menerima wang tunai RM800 selain medal, hamper bernilai RM200 dan sijil.
Sepanjang majlis perasmian berlangsung, suasana di dewan penuh semangat apabila setiap pasukan tampil dengan sorakan dan kreativiti tersendiri bagi menyuntik kemeriahan sambutan.
Sorakan paling lantang kedengaran ketika ketibaan dan ucapan perasmian oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang menyempurnakan sambutan tersebut.
Bukan sekadar wadah mengeratkan hubungan antara jabatan dan agensi, pertandingan tersebut malah berjaya menyemarakkan semangat kerjasama berpasukan serta memupuk suasana kerja yang positif dalam kalangan penjawat awam dan peserta yang hadir. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Ibanez Jeffery