Sarawak Di Landasan Capai Status Wilayah Maju Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030
KUCHING: Sarawak kini berada pada fasa penting dalam usaha merealisasikan aspirasi untuk muncul sebagai wilayah maju, mampan dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) perlu terus menjadi kerangka utama dalam memacu hala tuju pembangunan negeri dengan sokongan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Tempoh beberapa tahun yang berbaki sebelum tahun 2030 perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan segala dasar dan perancangan yang telah digariskan dapat diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat nyata kepada Sarawak dan rakyatnya,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memberi tumpuan kepada pembangunan industri bernilai tinggi, transformasi digital, tenaga bersih, ekonomi hijau serta pembangunan modal insan sebagai langkah memperkukuh daya tahan dan daya saing ekonomi Sarawak.
“Dalam hubungan ini, tindakan dan penyelarasan yang lebih cekap dan teratur antara kementerian dan agensi amat penting supaya setiap inisiatif dapat dilaksana dan direalisasikan dengan lebih pantas, tersusun dan boleh memberi kejayaan cemerlang dan berimpak tinggi,” tegas beliau.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketua-Ketua Jabatan. -EDISI UKAS