Pembangunan Mesra Warga Emas, OKU Perlu Jadi Keutamaan
KUCHING: Setiap pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam di Sarawak perlu dirancang secara lebih inklusif serta mesra warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang memerlukan perhatian khusus bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, bandar, kemudahan awam dan pembangunan infrastruktur yang lebih mesra warga emas serta OKU perlu terus diperbanyakkan supaya golongan ini dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, selamat dan berkualiti.
“Dalam hubungan ini, pihak jurutera, arkitek serta jabatan dan agensi pembangunan juga perlu memainkan peranan penting dalam memastikan setiap pembangunan yang dirancang lebih peka dan mesra kepada keperluan warga emas, OKU dan golongan yang memerlukan perhatian khusus itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, pada Isnin.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi menegaskan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat khususnya warga emas, OKU, kanak-kanak serta komuniti mudah terjejas perlu terus menjadi keutamaan terutama apabila Sarawak dijangka menjadi negeri menua menjelang tahun 2028.
Katanya, keadaan tersebut memerlukan persediaan rapi dari segi kesihatan, kebajikan dan sokongan sosial bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Dalam pada itu, beliau berkata walaupun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti Kenyalang Gold Card dan Senior Citizen Health Benefit serta bantuan kewangan, namun sistem penjagaan warga emas, pesakit tidak berkemampuan dan kanak-kanak yang memerlukan perhatian khas masih perlu diperkukuh.
Selain itu, beliau turut menggesa agar pengalaman dan kepakaran warga emas yang masih aktif dimanfaatkan melalui program kesukarelawanan, bimbingan dan peluang pekerjaan bersesuaian supaya mereka terus dihargai serta dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negeri.
Turut hadir, isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, barisan Menteri Kabinet Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta ketua-ketua jabatan. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ibanez Jeffery Guang