Sokongan Kerajaan Sarawak Semarakkan Gawai Dayak 2026 Di Miri
MIRI: Penganjuran Gawai Dayak 2026 di Miri mendapat sokongan dana besar daripada kerajaan negeri bagi memastikan festival itu berlangsung meriah dan berimpak tinggi.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Gawai Dayak 2026, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, kerajaan negeri memperuntukkan dana yang besar bagi menjayakan penganjuran festival tersebut di Miri.
Menurut beliau, kerajaan di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg amat prihatin terhadap usaha memperkasa sambutan Gawai Dayak tahun ini.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Showcase Kostum Tradisional Gawai Dayak Bazaar dan Ethnocultural sempena sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2026 di Miri pada Isnin.
Datuk Dr Penguang menambah, sambutan kali ini juga menjadi bukti bahawa Miri mampu menganjurkan acara bertaraf besar setanding lokasi lain di negeri ini.
Beliau juga mahu menjadikan penganjuran kali ini lebih istimewa dengan membawa konsep berbeza berbanding edisi terdahulu di Kuching.
Sebanyak 12 etnik Dayak yang terdapat di Miri mengambil bahagian dalam showcase iaitu etnik Iban, Bidayuh, Lakiput, Bisaya, Kelabit, Berawan, Lun Bawang, Saban, Kayan, Kenyah, Penan dan Kajang.
Hadir sama pengerusi pengelola showcase Kostum Tradisional merangkap Pegawai Daerah Marudi Rose Edward Tarang. –EDISI UKAS