Atlet Taekwondo Miri Raih Kejayaan Cemerlang, Wakili Sarawak ke Kejohanan Kebangsaan
MIRI: Pencapaian memberangsangkan atlet taekwondo muda diraikan dalam Majlis Penyampaian Hadiah serta Penyerahan Bendera Kontinjen Sarawak di Gym Taekwondo Bumi Kenyalang Miri, malam Isnin.
Majlis anjuran Kelab Taekwondo Bumi Kenyalang Miri itu menyaksikan pengiktirafan terhadap atlet yang menyertai Kejohanan PTNS-SSC-MSNS State Taekwondo (WT) Kyorugi & Poomsae Championship 2026, di samping pelepasan rasmi atlet yang bakal mewakili Sarawak ke Kejohanan 15th TM-KBS-MILO National Junior Taekwondo Championship 2026.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Kr. Sean Huang Hong Siong yang mewakili Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang.
Dalam ucapan Adam Yii yang disampaikan oleh Kr. Sean Huang, beliau menzahirkan ucapan tahniah kepada semua atlet atas pencapaian dalam kejohanan peringkat negeri yang berlangsung di Bintulu pada 16 hingga 17 April lalu.
“Penyertaan dalam kejohanan seperti ini bukan sahaja menguji keupayaan fizikal, malah membentuk disiplin, keyakinan diri dan semangat juang yang tinggi dalam kalangan atlet muda,” katanya.
Kontinjen Kelab Taekwondo Bumi Kenyalang Miri berjaya mencatat keputusan membanggakan apabila meraih tiga pingat emas, tujuh perak dan 18 gangsa hasil penyertaan 36 atlet.
Beliau turut menegaskan bahawa kejayaan tersebut mencerminkan usaha berterusan atlet, komitmen jurulatih serta sokongan padu ibu bapa dan pengurusan kelab dalam memperkukuh pembangunan sukan berkenaan.
Tambahnya, sukan taekwondo kini berpotensi menjadi platform penting bagi melahirkan atlet berprestasi tinggi yang mampu mewakili negeri dan negara ke peringkat lebih besar seperti SUKMA, Sukan SEA dan Sukan Olimpik.
Pada majlis sama, empat atlet bersama seorang jurulatih menerima penyerahan bendera kontinjen Sarawak sebagai simbolik pelepasan untuk menyertai kejohanan kebangsaan yang akan berlangsung di Negeri Sembilan dari 15 hingga 17 Mei ini.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Taekwondo Bumi Kenyalang Miri, Ang Chung Khiong berkata majlis berkenaan menjadi tanda penghargaan terhadap dedikasi atlet yang telah berusaha gigih sepanjang latihan dan pertandingan.
“Setiap pingat yang dimenangi melambangkan pengorbanan serta disiplin tinggi atlet, selain sokongan berterusan daripada jurulatih dan ibu bapa,” ujarnya.
Beliau turut berharap atlet yang mewakili Sarawak akan mempamerkan prestasi terbaik serta mengekalkan semangat kesukanan dan disiplin sepanjang kejohanan berlangsung.
Majlis tersebut bukan sahaja mengiktiraf kejayaan semasa, malah berperanan sebagai pemangkin semangat kepada atlet muda untuk terus melakar kejayaan dan mengharumkan nama Sarawak di persada lebih tinggi.-EDISI UKAS