PUSA: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan bantuan berjumlah RM284,000 kepada nelayan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Layar Rimbas sebagai usaha memperkukuh kebajikan komuniti nelayan serta meningkatkan produktiviti sektor perikanan di Sarawak.
Bantuan tersebut disampaikan Pengerusi LKIM Malaysia, Muhamad Faiz Fadzil sempena Majlis Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan PNK Layar Rimbas 2026 di Dewan Rahmaniah Kampung Pusa, pada Selasa.
Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak RM234,000 diperuntukkan bagi Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) tahun 2026 melibatkan nelayan di bawah PNK Layar Rimbas.
Selain itu, bantuan bernilai RM50,000 turut disalurkan menerusi Program Peningkatan Pendapatan melibatkan insentif serta bantuan peralatan penangkapan ikan kepada 32 penerima.
Antara bantuan yang diberikan termasuk enjin sangkut 30 kuasa kuda, pukat hanyut serta kotak ikan insulasi berkapasiti 100 liter.
Menurut beliau, kerajaan terus komited membantu golongan nelayan menerusi pelbagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti serta memperkukuh sumber pendapatan komuniti tersebut.
Katanya, Sarawak mempunyai potensi besar dalam sektor perikanan termasuk pengeluaran produk nilai tambah dan industri makanan berasaskan hasil laut yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“Para nelayan perlu meningkatkan produktiviti dan hasil tangkapan supaya dapat diperkembangkan sebagai industri makanan yang bermutu tinggi,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan persatuan nelayan mempelbagaikan aktiviti ekonomi selaras dengan matlamat penubuhannya dalam memperkukuh pembangunan ekonomi dan sosial komuniti nelayan.
Tambah beliau, LKIM akan terus melaksanakan pelbagai program pembangunan bagi memastikan golongan nelayan mendapat manfaat menyeluruh serta membantu memperkukuh sektor perikanan negara secara mampan.-EDISI UKAS