Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak Perkukuh Kedaulatan Makanan Negeri
KUCHING: Penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi dan Beras Sarawak 2026 disifatkan sebagai langkah strategik dan kritikal dalam memperkukuh keterjaminan makanan, daya tahan ekonomi serta transformasi sektor pertanian negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh berkata, penubuhan lembaga tersebut bukan sekadar melibatkan sektor pertanian.
Menurutnya, penubuhan lembaga itu turut melibatkan aspek kedaulatan makanan, kelestarian pembangunan luar bandar serta kelangsungan hidup rakyat dalam mendepani ketidaktentuan global termasuk konflik dunia, perubahan iklim dan kenaikan harga makanan.
“Paras Tahap Sara Diri (SSL) beras Sarawak masih rendah dan ini menyebabkan negeri terdedah kepada gangguan luar seperti sekatan eksport, konflik geopolitik, perubahan harga komoditi global dan gangguan rantaian bekalan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Padi Dan Beras Sarawak 2026 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Selasa.
Katanya, penubuhan lembaga itu bakal menyelaras keseluruhan ekosistem industri padi dan beras di bawah satu kerangka strategik yang lebih tersusun seperti diperuntukkan dalam Fasal 8 rang undang-undang berkenaan.
Beliau berkata ketika ini pelbagai tanggungjawab berkaitan industri padi dilaksanakan oleh beberapa agensi berbeza sehingga menyebabkan pertindihan fungsi, birokrasi, kelewatan kelulusan dan kelemahan penyelarasan pelaksanaan projek.
“Lembaga ini diharap menjadi pemacu utama dasar, pelaksanaan, pelaburan, inovasi serta perancangan jangka panjang industri padi Sarawak,” ujarnya.-EDISI UKAS