Pindaan SEDC Pacu Transformasi Institusi Ekonomi Sarawak Ke Arah Global
KUCHING: Pindaan terhadap Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) disifatkan sebagai langkah strategik dalam mentransformasikan institusi ekonomi negeri agar lebih dinamik, kompetitif dan berdaya saing di peringkat global.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang berkata, pindaan tersebut bukan sekadar perubahan kosmetik, sebaliknya reformasi institusi penting bagi memastikan peranan SEDC kekal relevan dengan landskap ekonomi moden.
Menurut beliau, asas penubuhan SEDC sejak 1958 perlu disesuaikan dengan perkembangan semasa khususnya dalam era ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui serta pelaburan bernilai tinggi.
“Jika Sarawak mahu muncul sebagai kuasa tenaga serantau, hab ekonomi hidrogen dan pemain ekonomi serius di ASEAN, maka institusi kita mesti bergerak seiring dengan perubahan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.
Beliau turut menyokong penjenamaan semula SEDC kepada Sarawak Economic Development Corporation yang disifatkan mampu meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuh imej antarabangsa negeri.
Dalam masa sama, beliau memuji penambahbaikan struktur tadbir urus yang melibatkan penyertaan pelbagai pihak termasuk wakil Setiausaha Kerajaan Sarawak, Kementerian Ekonomi Persekutuan, Peguam Besar Sarawak serta pakar dalam bidang strategik seperti kewangan, industri dan sains.
Katanya, pendekatan tersebut mencerminkan keperluan tadbir urus ekonomi moden yang lebih menyeluruh dan berteraskan kepakaran.
“Pembangunan ekonomi hari ini memerlukan integrasi antara dasar, kewangan, teknologi dan pelaburan. Oleh itu, institusi seperti SEDC perlu dipacu oleh profesionalisme dan keupayaan strategik,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pelantikan anggota perlu dilaksanakan secara telus, inklusif dan berasaskan merit bagi memastikan keberkesanan institusi tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa peranan SEDC amat penting dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, khususnya di kawasan pedalaman yang masih berdepan cabaran infrastruktur serta akses ekonomi.
Beliau turut menghargai peruntukan peralihan dalam pindaan tersebut yang menjamin kesinambungan undang-undang serta kestabilan pentadbiran tanpa menjejaskan operasi sedia ada.
Tegasnya, pindaan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak untuk memperkukuh institusi ekonomi sebagai pemangkin pertumbuhan, pelaburan dan pembangunan wilayah secara inklusif.
“Ekonomi yang kukuh memerlukan institusi yang kuat. Jika kita mahu mencapai aspirasi ekonomi yang tinggi, maka institusi juga mesti berani berubah,” katanya.-EDISI UKAS