DUN Lulus RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak
KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada ahli dewan pada bacaan ketiga, hari ini.
RUU tersebut dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak, Douglas Uggah Embas dan dibahaskan oleh 11 Ahli Dewan Undangan Negeri pada Persidangan DUN Sarawak Ke-19 di sini, pada Selasa.
Ketika menggulung perbahasan, beliau berkata pindaan tersebut mencerminkan usaha Kerajaan Sarawak memperkukuh institusi SEDC agar terus selari dengan amalan industri semasa dan landskap korporat moden.
Menurut beliau, kerajaan turut melibatkan Bank Dunia pada 2022 bagi menilai amalan tadbir urus korporat syarikat milik kerajaan negeri (SOE), termasuk badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Kerajaan GPS berhasrat mentransformasikan SEDC sebagai antara SOE terunggul di Sarawak dengan tadbir urus lebih kukuh, ketelusan lebih baik serta pengurusan yang lebih strategik dan komersial,” katanya.
Tambah beliau, usaha itu diyakini mampu meletakkan SEDC sebagai perbadanan bertaraf dunia yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Ibanez Jeffery