KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2025) 2026 melibatkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM167,808,725 bagi memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kerajaan serta pelaksanaan agenda pembangunan negeri terus berjalan lancar.
Kelulusan tersebut dicapai dalam Persidangan DUN Sarawak Ke-19 sekali gus membolehkan kerajaan negeri menampung keperluan perbelanjaan kementerian dan jabatan yang tidak diperuntukkan atau tidak mencukupi dalam Anggaran 2025.
Sebelum itu, Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas membentangkan RUU berkenaan bagi bacaan kali kedua dan menjelaskan tambahan peruntukan tersebut diperlukan untuk menampung kos pelbagai perkhidmatan yang telah dilaksanakan oleh agensi kerajaan.
“Peruntukan tambahan ini adalah bagi memastikan semua perkhidmatan kerajaan dapat diteruskan dengan lancar tanpa menjejaskan penyampaian kepada rakyat,” katanya.
Beliau menambah, perbelanjaan tambahan tersebut merangkumi pelbagai keperluan perkhidmatan di bawah kementerian dan jabatan seperti yang diperincikan dalam Kertas Perintah berkaitan.
Dalam pada itu, DUN Sarawak turut meluluskan usul merujuk Anggaran Tambahan Kedua Perbelanjaan Pembangunan 2025 kepada Jawatankuasa Bekalan melibatkan peruntukan sebanyak RM26,089,146.
Peruntukan tersebut melibatkan 51 subaktiviti dan 73 sub-sub aktiviti yang dibiayai menerusi penjimatan dalaman serta rizab luar jangka kerajaan negeri.
Daripada jumlah itu, projek khas menerima peruntukan terbesar melebihi RM17.7 juta, diikuti pembangunan masyarakat berpengetahuan (K-Society) sebanyak lebih RM6.38 juta.
Turut menerima peruntukan ialah sektor infrastruktur darat dan sungai, bangunan kerajaan dan awam, utiliti, pembangunan industri, pihak berkuasa tempatan dan perumahan selain sektor pelancongan, pertanian, sumber asli dan alam sekitar, perparitan dan pengairan serta pengangkutan.
Jelas beliau, langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan agenda pembangunan negeri terus diperkasa secara menyeluruh, mampan dan responsif terhadap keperluan rakyat semasa. -EDISI UKAS