Sarawak Bakal Jadi Hab Persidangan SIA ASEAN Menerusi SIAC2026
KUCHING: Sarawak bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pembangunan mampan dan amalan ESG serantau apabila menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa pertama berkaitan Social Impact Assessment (SIA) di Malaysia dan ASEAN menerusi penganjuran The Social Impact Assessment Conference and Exhibition 2026 (SIAC2026).
Persidangan berprestij yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 25 November 2026 di Hotel Pullman, Kuching itu dijangka menghimpunkan pakar antarabangsa, penggubal dasar, pemain industri serta institusi akademik dalam memperkasa agenda pembangunan inklusif dan mampan di rantau ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, persidangan tersebut dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dengan kerjasama Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) sempena ulang tahun ke-45 LCDA.
Menurut beliau, persidangan yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 24 November itu menjadi platform penting dalam memperkukuh pembangunan inklusif serta mampan di rantau ini.
“Persidangan ini merupakan persidangan dan pameran antarabangsa utama pertama di Malaysia dan ASEAN yang memberi tumpuan khusus kepada Social Impact Assessment.
“Tema persidangan ini iaitu ‘From Policy to Practice: Advancing Inclusive and Sustainable Development Through Social Impact Assessment’ akan menjadi jambatan antara dialog dasar, kepakaran teknikal dan pelaksanaan praktikal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Datuk Amar Awang Tengah menambah, penganjuran SIAC2026 mencerminkan peranan aktif LCDA dan MUDeNR dalam mempromosikan pembangunan mampan dan bertanggungjawab secara sosial di Sarawak khususnya melalui pembaharuan bandar, pembangunan tanah dan inisiatif libat urus komuniti.
Tambah beliau, persidangan tersebut juga selari dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya teras Kemakmuran Ekonomi, Keterangkuman Sosial dan Kelestarian Alam Sekitar.
“Pada masa sama, ia turut memperkukuh peranan Sarawak sebagai hab serantau bagi amalan ESG dan pembangunan inklusif,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan SIAC2026 bakal menghimpunkan pakar antarabangsa dan serantau dalam bidang SIA dan pembangunan mampan termasuk Profesor Frank Vanclay dari University of Groningen, Belanda serta Carlos T. Perez-Brito dari World Bank, Singapura.
Selain itu, pakar dan pengamal dari Malaysia, Indonesia, Vietnam dan Filipina turut dijangka mengambil bahagian sebagai peserta, penceramah, moderator dan panelis.
Program persidangan akan merangkumi sesi plenari, ucaptama, pembentangan teknikal, forum ESG, bengkel, pameran, pertandingan poster mahasiswa universiti, sesi jaringan serta lawatan tapak. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Gabriel Rommy
Foto: Ibanez Jeffery