Projek MVCC Kapit-Baleh Siap 2027, Grid Elektrik Rumah Panjang Dikaji
KUCHING: Projek Pembinaan Talian 33kV Medium Voltage Covered Conductor (MVCC) Kapit-Baleh yang dibiayai oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) kini sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2027.
Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki berkata, projek tersebut melibatkan kos anggaran sebanyak RM62 juta.
"Kementerian saya melalui Sarawak Energy sedang mengkaji kebolehlaksanaan penyambungan grid ke rumah-rumah panjang di sekitar kawasan Baleh selepas projek tersebut siap kelak,"katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Rabu.
Menyentuh mengenai kawasan penempatan Tunoh pula, jelas Datuk Ibrahim, cadangan projek pembinaan MVCC bersama pencawang 33/11KV telah dikemukakan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk pertimbangan dan kelulusan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13).-EDISI UKAS