339 Permohonan Dokumen Pengenalan Diri Bagi Kawasan Bukit Semuja Diproses PPK
KUCHING: Sebanyak 339 permohonan dokumen pengenalan diri melibatkan kawasan Bukit Semuja yang merangkumi daerah Serian dan Siburan telah diproses menerusi Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menangani isu dokumentasi rakyat di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 84 permohonan telah diluluskan dan pemohon akan dikeluarkan dokumen pengenalan diri.
Menurut beliau, sebanyak 242 permohonan pula tidak berjaya manakala 13 lagi masih di peringkat siasatan lanjut.
“Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pasukan Petugas Khas (PPK) yang dipengerusikan bersama oleh Premier Sarawak dan Menteri Dalam Negeri pada 20 Januari 2026 telah meluluskan sejumlah 5,776 permohonan daripada keseluruhan 13,224 permohonan pelbagai dokumen pengenalan diri dari seluruh bahagian di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya berkata, kerajaan Sarawak komited membantu menyelesaikan isu dokumentasi rakyat menerusi kerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan melalui pelaksanaan PPK.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap permohonan perlu melalui proses penelitian dan siasatan terperinci bagi memastikan kelayakan pemohon sebelum dokumen pengenalan diri dikeluarkan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini