SEDCC Selaras 1,891 Program Keusahawanan Libat 113,228 Peserta
KUCHING: Sebanyak 1,891 program pembangunan kapasiti keusahawanan berjaya diselaraskan menerusi Sarawak Entrepreneur Development Coordination Committee (SEDCC) sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), melibatkan seramai 113,228 peserta di seluruh Sarawak.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, bagi Bahagian Betong termasuk kawasan Krian, sebanyak 34 program melibatkan 1,650 peserta telah dilaksanakan setakat ini.
Menurut beliau, penubuhan SEDCC bertujuan menyelaras strategi dan memantau pelaksanaan inisiatif pembangunan keusahawanan supaya dapat dilaksanakan secara lebih berkesan, tersusun dan mampan.
“Penubuhan jawatankuasa ini juga bertujuan memperkukuh koordinasi dan kerjasama strategik antara agensi Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, bagi mengelakkan pertindihan dalam pelaksanaan inisiatif pembangunan keusahawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Friday Belik semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Khamis.
Tambah Datuk Dr Malcolm, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan turut melaksanakan pelbagai program pembangunan keusahawanan khas untuk golongan belia seperti Youth Entrepreneur Setup, BeliaGoBiz dan Sarawak Youth StartUP.
Katanya, program berkenaan memberi tumpuan kepada peluang pitching, jaringan perniagaan serta akses pasaran bagi membantu belia mengembangkan perniagaan mereka.
Selain itu, katanya, Kerajaan Persekutuan melalui agensi seperti SME Corp. Malaysia, INSKEN dan Amanah Ikhtiar Malaysia turut menawarkan pelbagai program latihan, bimbingan dan pembiayaan bagi meningkatkan kapasiti usahawan.
Antara program yang dilaksanakan termasuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera, INSKEN Bumiputera Business Coaching dan Sahabat Usahawan.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini