PDP Terus Perkukuh Permuafakatan, Utamakan Agenda Rakyat
SIBU: Parti Demokratik Progresif (PDP) akan terus memperkukuh perjuangan parti berasaskan prinsip permuafakatan, perkongsian kuasa serta khidmat berterusan kepada rakyat.
Presidennya, Dato Sri Tiong King Sing menegaskan, seluruh kepimpinan dan ahli parti perlu terus melaksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab selain sentiasa memahami keperluan rakyat.
Beliau berkata, Mesyuarat Perhimpunan Agung Tri-Tahunan (TGA) PDP 2026 bukan sekadar platform formaliti organisasi, sebaliknya menjadi medan "kebangkitan semula" parti itu untuk membuktikan mereka adalah wadah politik masa depan.
“Kepada semua ahli, teruskanlah perjuangan. Kepada para pemimpin, laksanakan amanah dengan penuh tanggungjawab dan kepada rakyat, yakinlah bahawa PDP akan terus berkhidmat dengan berani dan telus.
“Bersama-sama kita melangkah ke hadapan, lebih kuat, bersatu dan bersedia menuju kemenangan.
“Kepada rakan-rakan parti dalam gabungan, saya ingin menegaskan bahawa PDP kekal berpegang teguh kepada prinsip permuafakatan, perkongsian kuasa dan saling menghormati,” katanya dalam ucapan aluan pada Majlis Perasmian TGA PDP 2026 di Hotel Kingwood, pada Sabtu.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dato Sri Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, sejak penubuhannya pada tahun 2002 termasuk melalui proses penjenamaan semula pada 2017, PDP terus berkembang dan kini mempunyai seramai 250,000 ahli di seluruh Sarawak.
Katanya, perkembangan tersebut mencerminkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan serta peranan PDP sebagai salah satu komponen penting dalam GPS.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa PDP kekal berdiri teguh bersama GPS serta menyokong kepimpinan Premier Sarawak demi memastikan kestabilan politik dan pembangunan ekonomi negeri terus diperkukuh.
Majlis itu turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri John Sikie Tayai serta Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Setiausaha Agung GPS Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan, Kesihatan Awam dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee yang mewakili Presiden Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP), Setiausaha Agung PRS Datuk Dr. Malcom Mussen Lamoh, Timbalan Presiden PDP Datuk Henry Harry Jinep, Naib Presiden Kanan I PDP Datuk Dr. Penguang Manggil serta Setiausaha Agung PDP Anyi Ngau.-EDISI UKAS