Kejohanan Memancing Antarabangsa Perkukuh Pelancongan Sukan Miri
MIRI: Kejohanan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Bandaraya Miri Ke-14 terus memperkukuh kedudukan bahagian ini sebagai antara destinasi utama pelancongan sukan dan memancing laut dalam di rantau ini menerusi penyertaan 58 peserta dari Malaysia, Brunei Darussalam, Singapura, China dan Australia.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sambutan antarabangsa yang diterima membuktikan produk pelancongan memancing di Miri terus mendapat perhatian dan berpotensi berkembang sebagai antara tarikan utama pelancongan Sarawak.
“Kejohanan ini bukan sahaja mempromosikan sukan memancing laut dalam, malah membantu memperkukuh sektor pelancongan dan ekonomi setempat melalui kehadiran peserta serta pelancong antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Adam Yii Siew Sang, dalam majlis penutupan kejohanan itu, pada Sabtu.
Sehubungan itu, Dato Sri Abdul Karim menegaskan pembangunan sektor pelancongan memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk syarikat penerbangan, hotel, pengendali pelancongan, pengangkutan dan agensi berkaitan bagi memastikan pengalaman pelawat lebih lancar dan berkualiti.
Dalam perkembangan lain, beliau menyifatkan kelulusan projek pembesaran Lapangan Terbang Miri oleh Kerajaan Persekutuan sebagai langkah strategik yang mampu memperkukuh sektor pelancongan di utara Sarawak.
Katanya, pengoperasian AirBorneo pada masa hadapan serta peningkatan hubungan penerbangan antarabangsa dijangka memudahkan kemasukan pelancong asing khususnya dari bandar pesisir China ke Sarawak.
Menurut beliau, kemudahan akses penerbangan yang lebih baik diyakini mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Miri yang terkenal dengan dua Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Gunung Mulu National Park dan Niah National Park.
Pada kejohanan tersebut, peserta dari Miri, Yaw Ping Ping, 35, muncul juara kategori individu selepas berjaya menaikkan ikan ‘Dogtooth Tuna’ seberat 33.54 kilogram.
Sementara itu, gelaran juara berpasukan dimenangi Louriston Frank Clifon dan Mohd Azrul Said dari Malaysia bersama Ma Jun dari China selepas mencatat jumlah keseluruhan tangkapan seberat 69.95 kilogram.
Kejohanan Memancing Laut Dalam Antarabangsa Bandaraya Miri Ke-15 akan kembali dianjurkan pada 25 hingga 29 Mei 2027 dengan sasaran penyertaan antarabangsa yang lebih besar.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (Pelancongan) merangkap ADUN Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Presiden Kelab Pemancing Miri merangkap Pengerusi Penganjur, Brian Ang. -EDISI UKAS