Pesara Guru Terus Dihargai Dalam Sambutan Hari Guru Khas Anjuran Dato Sri Fatimah
KUCHING: Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah bersama suaminya, Datu Dr. Adi Badiozaman Tuah menganjurkan sambutan Hari Guru khas bagi meraikan kira-kira 100 pesara guru sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan golongan pendidik.
Dato Sri Fatimah berkata, sambutan itu diadakan kerana beliau merasakan pesara guru juga wajar diberi penghormatan memandangkan kebanyakan sambutan Hari Guru lazimnya hanya tertumpu kepada guru yang masih berkhidmat.
Menurutnya, semangat keguruan dalam diri seorang pendidik tidak pernah hilang walaupun sudah bersara.
“Once a teacher is always a teacher. Ramai pesara guru ini masih terus menyumbang dalam pelbagai kapasiti seperti ketua masyarakat, ketua kaum, penasihat dan ahli jawatankuasa dalam komuniti,” katanya ketika ditemui pada majlis berkenaan pada Sabtu.
Beliau berkata, program yang memasuki tahun kelima penganjurannya itu turut menjadi platform penting untuk menghimpunkan semula bekas pendidik yang jarang dapat bertemu selepas tamat perkhidmatan.
Katanya, peluang untuk bersua muka, bertanya khabar dan berkongsi pengalaman lama amat penting khususnya bagi kesejahteraan emosi serta sosial warga emas.
“Kita mahu mereka terus menua dalam keadaan sihat, aktif dan produktif. Bersosialisasi dan terus berhubung antara satu sama lain sangat penting untuk kesejahteraan hidup,” ujarnya.
Katanya, pesara guru juga digalakkan untuk terus menyumbang bakti kepada masyarakat selagi mempunyai tenaga, pengalaman dan kesihatan yang baik.
“Sayang kalau ilmu dan pengalaman seorang guru itu tidak dimanfaatkan. Selagi diperlukan, teruskan berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.
Selain sesi ramah tamah dan sambutan Hari Guru, majlis tersebut turut menyediakan kaunter pendaftaran Kenyalang Gold Card (KGC) bagi memudahkan pesara guru yang layak mendapatkan manfaat di bawah inisiatif kerajaan Sarawak itu.
Dato Sri Fatimah berkata, objektif utama program bukan sekadar menyediakan jamuan, tetapi memberi ruang kepada bekas guru mengeratkan semula hubungan persahabatan serta mengimbau kenangan ketika berkhidmat dahulu termasuk di kawasan pedalaman.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan ucapan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik atas jasa besar mereka dalam membangunkan masyarakat dan negara.- EDISI UKAS