Perarakan Niti Daun Sri Aman 2026 Semarak Sambutan Pra-Gawai
SIMANGGANG: Program Perarakan Niti Daun Sri Aman 2026 yang berlangsung pada Sabtu menambah kehangatan suasana pra-Gawai di Bandar Simanggang dengan penyertaan ratusan peserta daripada pelbagai agensi, sekolah, rumah panjang serta persatuan tempatan.
Program anjuran Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) yang berlangsung di Mini Stadium Sri Aman itu melibatkan seramai 577 peserta daripada 23 kontinjen.
Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang.
Acara dimulakan dengan upacara tradisional ‘Miring’ sebelum ucapan alu-aluan disampaikan oleh Pengerusi MDSA, Kaunselor Anthony Abell Chendan.
Perarakan sejauh 2.2 kilometer itu bermula pada jam 8.26 pagi dengan peserta melalui beberapa jalan utama di bandar Simanggang termasuk Jalan Sabu, Jalan Kim, Jalan Main Bazaar, Jalan Club, Jalan Resak, Jalan Foocow dan Jalan Paya sebelum berakhir di Jalan Council sekitar jam 9.20 pagi.
Dalam pertandingan yang diadakan, kontinjen Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diketuai DSP Neil Beginda muncul pemenang Anugerah Kontinjen Berpakaian Terbaik bagi kategori Kerajaan.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman pula dinobatkan juara kategori Sekolah, manakala kategori Rumah Panjang dimenangi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ulu Undop pimpinan Tuai Rumah Tyrone Connie.
Bagi kategori Persatuan/Kelab, Persatuan Pengusaha Kraftangan Simanggang berjaya membawa pulang gelaran juara.
Sementara itu, Tuai Rumah Tyrone Connie turut memenangi Anugerah Kostum Terbaik Perseorangan Lelaki, manakala Elsie Lovia Aji dari Lingga memenangi kategori Perseorangan Wanita.
Jabatan Tanah dan Survei (JTS) pula diumumkan sebagai penerima Anugerah Plakard Paling Kreatif.
Program diteruskan dengan acara cabutan bertuah, jamuan ringan dan sesi bergambar sebelum melabuhkan tirai sekitar jam 12.30 tengah hari.
Turut hadir Residen Bahagian Sri Aman Mahra Salleh, Setiausaha MDSA Mohd Rizal Zakaria dan Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Mantar Gawai Dayak Bahagian Sri Aman Temenggong Leonard Libau Anol.- EDISI UKAS