Aktiviti Kecergasan Komuniti Perlu Terus Diperkasa
BINTULU: Aktiviti kecergasan komuniti seperti zumba dan aerodance perlu terus diperkasa sebagai usaha membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat usia.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu Johnny Pang Leong Ming berkata program berbentuk riadah dan kecergasan bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan fizikal serta mental, malah menjadi medium terbaik dalam mengeratkan hubungan sosial dan semangat kebersamaan komuniti.
Menurut beliau, penglibatan golongan warga emas dalam aktiviti sedemikian juga perlu dipertingkatkan supaya budaya hidup aktif dapat diamalkan secara lebih menyeluruh dalam masyarakat.
“Saya tidak nampak ramai warga emas di sini. Saya rasa golongan warga emas juga patut turut serta, bukan hanya golongan muda sahaja.
“Paling penting, Zumba merupakan satu bentuk senaman yang sangat baik dan sering digunakan sebagai aktiviti pemanasan badan sebelum acara larian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Sarawak Sunrise Aerodance Bintulu Edition 2026 di The Spring Shopping Mall Bintulu pada Ahad.
Program tersebut berjaya menghimpunkan kira-kira 400 peserta terdiri daripada komuniti setempat serta penggiat kecergasan sekitar Bintulu.
Dalam pada itu, Johnny turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM3,000 bagi menyokong penganjuran program berkenaan sebagai usaha menggalakkan lebih banyak aktiviti sihat melibatkan komuniti tempatan.
Beliau turut mengajak orang ramai menghadiri program Sarawakku Sayang yang dijadual berlangsung pada 22 Mei ini di Lasar Kenyalang dan dijangka menarik kehadiran kira-kira 6,000 pengunjung.
Menurutnya, program berbentuk komuniti dan kebudayaan seperti itu penting dalam memperkukuh perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak selain memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.-EDISI UKAS